Gara-gara mahu hidup mewah, ramai rakyat Malaysia terpedaya dengan sindiket skim piramid yang berselindung disebalik perniagaan jualan langsung.
Modus operandi seperti ini masih wujud apabila Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK) menumpaskan satu sindiket skim piramid yang beroperasi di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang pada 29 Mei lalu.
Merujuk laman sesawang BNM, sebanyak 237 syarikat termasuk laman sesawang yang tidak diberi kebenaran atau kelulusan di bawah undang-undang yang berkaitan dan peraturan di bawah pentadbiran BNM dari tahun 2012 sehingga 2017. Senarai syarikat terbabit boleh didapati di link di bawah
Industri jualan langsung di negara ini sudah mencapai tahap matang sehingga menyaksikan Malaysia kini muncul pasaran kesembilan terbesar jualan langsung global dan keempat terbesar di Asia Pasifik.
Berdasarkan perangkaan Persekutuan Persatuan Jualan Langsung Dunia (WFDSA), jualan yang dijana industri jualan langsung global tahun 2015 mencecah AS$184 bilion (RM731 bilion), meningkat 7.7 peratus berbanding tahun 2014.
Pada tahun 2016 ada 308 syarikat yang mempunyai lesen jualan langsung berbanding lebih 600 syarikat pada satu masa dulu. Lebih 300 syarikat sudah ditarik lesen jualan langsung kerana kementerian kurang berpuas hati dengan operasi mereka. Jumlah semasa memberikan peluang kepada kementerian untuk menentukan kriteria yang lebih ketat (bagi syarikat jualan langsung).
APA ITU SKIM PYRAMID
Menurut pakar kewangan pengguna, Prof. Madya Dr. Mohamad Fazli Sabri, sekiranya diperhatikan secara rasional, struktur piramid dalam pelan pemasaran MLM sama sahaja dengan struktur piramid yang terdapat dalam bisnes model lain.
“Jika bentuk piramid itu menjadi kayu pengukur, sudah tentu banyak syarikat perniagaan menjadi haram dan terpaksa ditutup. Justeru, pengguna perlu menilai cara bagaimana sesuatu struktur organisasi perniagaan itu dibentuk. Ini kerana tidak semua syarikat jualan langsung mengandungi unsur penipuan.
“Malah syarikat yang mengikut peraturan mampu bertahan sehingga hari ini kerana produk dipasarkan ada nilai dan berkualiti,” katanya yang juga Ketua Jabatan Pengurusan Sumber dan Pengajian Pengguna, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia.
Bahasa paling mudah difahami, skim piramid memperoleh keuntungan melalui hasil memperkenalkan atau mengambil ahli baharu dan melupakan tentang pemasaran dan penjualan produk atau perkhidmatan.
Untuk mengenal pasti sama ada sesuatu perniagaan itu melibatkan skim piramid atau tidak, pengguna perlu melihat produk dan bagaimana pulangan modal itu diperoleh.Sekiranya sesuatu perniagaan (skim) itu tidak mempunyai produk perniagaan yang sah dan pengguna (pelabur) tidak akan mendapat sebarang pulangan modal, melainkan mereka berjaya memperkenalkan sebilangan ahli baru untuk menyertai skim tersebut, maka ia merupakan skim piramid.
http://www.bnm.gov.my/documents/2017/20170522_FCA_EN.pdf