Makanan yang suci dan bersih menjamin kesihatan yang baik. Justeru, di samping memilih makanan berzat dan berkhasiat, sebaiknya perlu ditekankan soal kebersihan dan kesuciannya dari segi syariat agama.
Sabda Rasulullah dalam sebuah hadis diriwayatkan at-Tirmizi yang bermaksud: “Setiap daging yang tumbuh daripada makanan yang haram, maka api nerakalah yang layak baginya.”
Pemahaman mengenai pentingnya memilih makanan memang diketahui umum. kebanyakan maunisa memilih makanan kegemaran mengikut kemampuan, keinginan dan selera masing-masing dengan hanya melihat kelazatan dan khasiat tanpa meneliti sejauh mana kesesuaiannya untuk dimakan, terutama dari segi kebersihan dan halal menurut syariat.
Rasulullah s.a.w. dalam sebuah hadis diriwayatkan Muslim bersabda yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, makanlah barang yang bersih daripada apa yang kami kurniakan kepada kamu”.
Makanan haram daripada bahan yang dicampur najis atau daripada punca yang tidak halal dan syubhah boleh mendatangkan tiga bahaya besar kepada pemakannya.
Pertama, makanan itu akan mempengaruhi jiwa seseorang sehingga dia berasa lebih gemar melakukan kejahatan dan maksiat dan bencikan kerja-kerja kebajikan dan ketaatan.
Kedua, doanya tidak akan dimakbulkan Allah s.w.t.
Ketiga, akan menyebabkan dia mendapat seksaan neraka di akhirat kelak.
Rasulullah menyarankan perut manusia diisi dengan satu pertiga air, satu pertiga makanan dan satu pertiga lagi adalah udara. Ia amat bertepatan dengan ilmu sains dan kesihatan yang perlu diamalkan manusia. Insya-Allah jika cukup jumlah yang disarankan Rasulullah itu, sudah pasti kita bukan saja akan dapat merasai nikmat kenyang bahkan hidup lebih mendapat rahmat dan keredaan Allah s.w.t.
Dalam sebuah hadis, Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Perut adalah sumber penyakit dan berpantang adalah sebaik-baik ubat. Biasakanlah setiap tubuh dengan apa yang lazimnya.”
Umar RA meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda: ” ائِتَدموا بالزَّيت و ادَّهنوا به فإنه يخرج من شجرة مباركة “, bermaksud: “Jadikan minyak zaitun sebagai kuah dan minyakilah dirimu dengannya kerana sesungguhnya ia dari pohon yang diberkati.”
Dalam riwayat yang lain oleh Ibnu Sa’id RA bahawa Nabi bersabda:
” كُلُوا الزيت و ادَّهنوا به فإنه من شجرة مباركة “ bermaksud: Makanlah dan minyaki dirimu dengan minyak zaitun, kerana sesungguhnya ia dari pohon yang diberkati.”‘ Disahihkan di dalam Bab At-Taiemah oleh Ibnu Majah dengan sanad perawi yang percayai dan Abdul Razaq dalam Al-Musanaf dan disahihkan oleh Al-Hakim.
Selaras dengan Hadith di atas, kajian saintifik baru-baru ini mengesahkan bahawa minyak zaitun ini memiliki banyak khasiat pelindung dari penyakit arteriosclerosis (atau ateroma), iaitu penebalan pada saluran darah atau arteri.
Doktor di hospital di Milan, Itali, menggunakan minyak zaitun sebagai salah-satu daripada rawatan perubatan yang diberikan kepada pesakit yang menjalani pembedahan jantung di arteri. Pesakit bermasalah arteri diberikan empat hingga lima sudu sehari.
Dalam kajian yang diterbitkan oleh American Medical Magazine, 1986, Dr Girandy, seorang profesor di Universiti Texas, Amerika Syarikat, menyatakan minyak zaitun boleh menurunkan kolesterol sebanyak 13% dan lemak protein sebanyak 21%. Oleh itu, beliau menyarankan penduduk Amerika menggunakan minyak zaitun berbanding dengan minyak yang lain bagi mencegah dan mengelak dari penyakit arteri.
Allah s.w.t murka kepada hamba-Nya yang suka melampaui batas, termasuk dalam soal pemilihan, adab dan cara makan. Sebagai balasan, Allah s.w.t. akan menurunkan pelbagai wabak penyakit, sama ada ia akan menyerang manusia secara keseluruhan atau individu ianya berpunca daripada kelalaian dan kealpaan manusia mengurus diri dalam menikmati kurniaan Allah s.w.t.
Sumber di rujuk dari
Laman Kementerian Pelajaran Malaysia
Rujukan: Tihmaz, Abdulhameed Mahmoud- Empat Puluh Keajaiaban Saintifik; Dar Al-Qalem.
http://alshiffa.blogspot.com/
http://alshiffa.blogspot.com/
Dengan ehsan: Science4islam.com